ALSA Malaysia Online
Program telah berjaya dijalankan seperti yang telah dirancang walaupun kedatangan peserta yang kurang memberangsangkan. Pada 9 April 2014, kami berkumpul di Dewan Konvensyen B, Pusat Konvensyen seawal jam 8.00 pagi untuk mula membuka dewan, memeriksa peralatan elektronik seperti mikrofon, PA sistem dan projektor serta menyusun meja untuk tujuan pendaftaran. Setelah semua tiba, biro-biro memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan tugas di samping para peserta mula memenuhi dewan. Biro protokol memastikan keadaan peserta terkawal sambil menunggu kehadiran tetamu kehormat yang tiba sedikit lewat pada hari itu. Ketibaan tetamu kehormat iaitu Mr. Pyara Singh, peguam dan ACP Segeran Thanapalan, Ketua Penyiasat bahagian Siasatan Jenayah, disambut baik oleh biro-biro sambil mereka diiringi oleh pengarah program dan wakil dari Persatuan Undang-Undang UUM untuk bersarapan di bilik VIP. Setelah selesai dijamu, speaker menuju ke Dewan untuk memulakan sesi forum yang dikendalikan oleh moderator, Mohd. Syakir pelajar undang-undang semester dua. Sesi forum dibahagikan kepada dua bahagian dan soalan yang dikemukakan menarik dan menyeluruh. Hal ini membuatkan para peserta tidak kebosanan dan dapat mengikuti perbincangan serta memahami isu-isu yang diajukan kepada pihak panel. Pihak panel diajukan dengan soalan-soalan mengenai prosedur, modus operandi dan hak-hak apabila ditahan oleh pihak berkuasa secara bergilir-gilir dan persediaan yang rapi oleh speaker membolehkan jawapan disampaikan dengan komprehensif sewaktu forum berlangsung. Forum berjalan lancar selama dua jam. Setelah selesai forum dan kesimpulan dibuat oleh moderator, sesi soal jawab dibuka untuk peserta menanyakan sebarang soalan. Setelah selesai, para tetamu diberikan token penghargaan dan dijamu makanan tengahari diikuti dengan agihan makanan kepada peserta yang hadir. Majlis bersurai setelah peserta selesai mengambil makanan dan tetamu selesai menjamu selera.
0 Comments
Kejohanan Futsal ALSA UiTM Open 2014 adalah merupakan sebuah program yang telah dianjurkan oleh pihak ALSA UiTM pada 4 Mei yang lalu dan bertempat di Pusat Sukan, UiTM Shah Alam. Program yang telah mendapat sokongan dan penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk dari pelajar universiti dan fakulti luar itu telah bermula pada kira-kira pukul lapan pagi. Pertandingan ini telah mendapat sambutan baik apabila menerima penyertaan sejumlah sebelas pasukan dengan kekuatan lapan orang pemain bagi setiap pasukan. Program dimulakan dengan pendaftaran para peserta bagi memudahkan urusan pemberian hadiah serta sijil. Selepas menikmati sarapan yang telah disediakan, wakil setiap peserta diberikan taklimat ringkas oleh ketua program akan perjalanan program. Setiap pasukan dimaklumkan dengan jelas akan jadual perlawanan. Sejurus itu, para peserta bersama-sama melakukan aktiviti regangan badan untuk mengelakkan sebarang kecederaan semasa perlawanan. Peserta sebelum itu telah dibahagikan kepada dua pasukan iaitu peserta untuk kumpulan A dan kumpulan B. Kumpulan A merangkumi peserta seperti Ketom FC, Lacos FC, UM Law, Northern Lion, Assam Keping FC dan Cempaka Cougars manakala Kumpulan B disertai oleh Union FC, Cincai FC, The Killers, Pegaga Streets FC serta Kuantanamela FC. Tujuan pembahagian kumpulan ini adalah supaya program dapat dijalankan dengan lebih ringkas dan lancar di mana peserta-peserta kumpulan akan bertanding di dua gelanggang yang berbeza pada masa yang sama. Kejohanan telah dimulakan dengan perlawanan di antara Cempaka Cougars melawan UM Law di gelanggang A. Pada masa yang sama, di gelanggang B, perlawanan dimulakan oleh pasukan The Killers melawan Union FC. Secara total, sebanyak 25 perlawanan antara 11 pasukan telah berlangsung bagi pusingan kelayakan. Hanya pasukan The Killers, Ketom FC, Cempaka Cougars, dan Assam Keping FC telah Berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir. Perlawanan sengit telah berlangsung di antara keempat-empat pasukan ini yang menyaksikan pasukan The Killers dan Assam Keping FC Berjaya menempatkan diri ke pusingan akhir. Keputusan akhir telah merekodkan kemenangan berpihak kepada pasukan The Killers, manakala pasukan Assam Keping FC menjadi naib johan. Pasukan Cempaka Cougars pula hanya berada di tempat ketiga dan Ketom FC di tempat ke-empat. Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah dan sijil buat para pemenang yang telah disampaikan oleh Presiden ALSA Malaysia sendiri, iaitu, saudara Azfarsyah. Peserta kemudiannya mengambil kesempatan untuk bergambar bersama-sama sebelum majlis berakhir dengan rasminya pada pukul enam petang. |
ALSA MalaysiaThe latest news and events happening around ALSA Malaysia. Archives
May 2014
Categories
All
|